Sumber: Malaysia Harmoni

KUALA LUMPUR – Sejak tahun 1420 Hijrah, ratusan ribu umat Islam di pelbagai negara telah merasa nikmat hidangan daging lembu dan kambing menerusi Program Rayuan Qurban dan Aqiqah.
Pada tahun ini, buat julung kalinya penganjur, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) bergabung tenaga dengan Koperasi Islah Malaysia Berhad dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) bagi meneruskan lagi ibadat tersebut dengan tema kali ini “Qurban Kasih Ummah”. Jumlah agihan lembu dan kambing yang pesertanya terdiri daripada orang ramai yang menyahut rayuan tersebut juga terus meningkat.

“Insya-Allah, sekali lagi kita berpeluang untuk beramal di samping membantu umat Islam di negara-negara yang memerlukan bagi tahun yang ke-13,” ujar Pengarah Program Qurban Kasih Ummah 1432 Hijrah, Tuan Yaacob Tuan Sof.
Menurutnya, pada tahun ini mereka menyasarkan sebanyak 400 ekor lembu dan 100 ekor kambing untuk diagih-agihkan ke 17 buah negara umat Islam berbanding 270 ekor lembu dan 94 ekor kambing ke 13 buah negara pada tahun sebelumnya.
“Program ini telah bermula pada tahun 1999 lagi dan ia adalah penerusan bagi Program Rayuan Qurban dan Aqiqah.”
Palestin, Pakistan, Filipina, Thailand, Indonesia, Mynmar, Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Lubnan, Sudah, Afghanistan, Bangladesh, Iraq, Papua New Guinea, Maldives dan Malaysia adalah negara-negara yang disasarkan menerima agihan ini.
“Keunikan qurban kami ialah qurban ini dilaksanakan kepada mereka yang amat memerlukan di 17 buah negara dan ia amat besar ertinya kepada penerima yang sangat mendambakan santunan daripada kita semua,” kata beliau dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat JIM.
Tuan Yaacob berkata lagi, harga untuk satu bahagian qurban bagi seekor lembu adalah RM350 manakala harga seekor kambing RM500.
“Pelbagai kempen telah dibuat bagi memberi kesedaran dan kepentingan program ini diadakan.”
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua umat Islam untuk bersama-sama menyertai dan menjayakan program ini.
Kepada yang ingin menyertainya, mereka boleh mengunjungi laman sesawang http://www.ramadhan-qurban.org atau menghubungi sekretariat Program Qurban di talian 03-41053159 atau 03-41089669.
