[MH] Anak berakit tong kosong, pujuk ibu pindah antara senario mengharukan

Sumber : Malaysia Harmoni

banjir di bangkok

BANGKOK – “Sungguh tersentuh hati ini melihat seorang anak berakit menggunakan tong air untuk mengambil ibunya di rumah. Tika itu jam hampir 10 lebih (lebih kurang jam 11 malam di Malaysia). Si anak memujuk ibunya supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat…”

Demikian antara pengalaman sebenar yang dapat disaksikan sukarelawan sepanjang misi bantuan kemanusiaan di Thailand. Kisah tersebut dicatatkan seorang sukarelawan yang hanya dikenali sebagai Jun.

Jun bagaimanapun tidak sempat melihat episod terakhir peristiwa tersebut kerana rombongan yang beliau sertai perlu bergegas pergi untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang lain.

Pada Ahad lalu, Nusantara Islah Centre of Excellence (NICE) melalui misi Tabung Kasih Ummah (TKU) Bencana Banjir di Thailand telah mula menghulurkan sumbangan yang dikumpul daripada rakyat Malaysia sebanyak RM21,000. Sumbangan disampaikan oleh wakil NICE, Tuan Yaacob Tuan Sof iaitu Pengarah Qurban Kasih Ummah (QKU) yang turut mengadakan misi sumbangan korban ke negara tersebut bersempena Hari Raya Aidiladha 1432H.

Antara kawasan yang dilawati dan menerima sumbangan di sekitar Bangkok adalah wilayah Tha’it dan Patumtani. Di Tha’it, sukarelawan telah mengagihkan makanan kering seperti beras, sardin dan minyak masak serta daging korban kepada hampir 1,000 keluarga yang rumah mereka ditenggelami air hampir dua bulan lamanya.

Selain Tuan Yaacob, rombongan TKU dan QKU yang mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut disertai Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) Thailand, Pertubuhan Kebajikan Pattani, Yayasan Pendidikan al-Quran Thailand dan beberapa orang mahasiswa Universiti Islam Yala.

Hadir sama adalah Presiden Yayasan Pendidikan al-Quran Thailand, Muhammad Ismail dan Naib Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS), Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud.

Misi bantuan Tabung Kasih Ummah dan Qurban Kasih Ummah ini mendapat liputan terus akhbar Sinar Harian dan TV Alhijrah yang turut menghantar wakil mereka ke sana.

Kira-kira sepertiga Thailand dilanda banjir besar sejak 25 Julai lepas. Banjir yang dikatakan terburuk dalam tempoh 50 tahun itu setakat ini telah meragut 500 nyawa, dan ia dijangka berterusan sehingga bulan Disember ini.

Sehingga kini, TKU terus menerima sumbangan daripada orang ramai. Menurut Wan Mohd Zukri Che Mat Zin, Pengerusi NICE, serahan bantuan daripada TKU seterusnya akan dibuat pada akhir bulan November ini manakala bantuan pemulihan bagi mangsa banjir dan juga masjid-masjid di Thailand yang rosak akibat banjir akan dibuat pada bulan Disember nanti.

Orang ramai masih boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun BIMB 12113010040182 atas nama “PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA”. Sila maklumkan sumbangan melalui SMS kepada 012-3203434 atau emel kepada wmzukri@readnetwork.com. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Wan Mohd Zukri di talian 012-3203434 atau Aidil Akbar Yassin di talian 013-3314389.

Hari Raya Haji 1446H/2025:
(7 Jun 2025)

Hari
Jam
Minit

Kongsikan artikel ini: