Assalamualaikum wrbkth,
Program Qurban Kasih Ummah 1435H (2014) berpeluang melakukan ziarah qurban ke Mindanao, Filipina. Ziarah yang berlangsung selama 4 hari dari 3 OKTOBER 2014 hingga 6 OKTOBER 2014 diwakili oleh Pengarah Program, Encik Tuan Yaakob dan Pengurus Operasi, Encik Abdul Hafidz. Tujuan ziarah adalah menyampaikan dana, meraikan wakil NGO kami dalam proses pelaksanaan serta meninjau sendiri perkembangan umat Islam di Selatan Filipina.
HARI PERTAMA (3 OKTOBER 2014)
Sesampai rombongan kami tiba di Manila dari KLIA2, rombongan kami menginap di Hotel 99 di Quiapo, Manila. Disebabkan hari sudah gelap, rombongan kami mengambil peluang yang ada untuk bersiar-siar dan membeli buah tangan di bandar Manila.

HARI KEDUA (4 OKTOBER 2014)
Di bandar Quiapo, terdapat 2 masjid, yang paling dikunjungi ramai ialah Golden Mosque kerana kubahnya berwarna keemasan. Di hadapan masjid terdapat pedicab (seakan beca), pengangkutan awam utama di Filipina.

Eid-uladha di Filipina adalah 1 hari awal berbanding Malaysia, jadi rombongan kami melakukan solat sunat Eid-uladha di Rizal Park, sebuah padang awam di tengah bandar. Beberapa jam sebelum solat, hujan turun membasahi padang tapi tidak menjadi penghalang kepada umat Islam di sini mebanjiri padang ini untuk menunaikan solat.

Selepas solat sunat, rombongan kami menaiki penerbangan Cebu Pacific ke Cotabato (Mindanao). Lokasi pertama di Cotabato ialah Markaz Al-Amir, rumah anak-anak yatim. Atas sumbangan ramai dermawan Malaysia sempena Qurban Khas Mindanao, nasib anak-anak yatim di sini terbela. Jangan terkejut melihat anak-anak di sini kerana telah menjadi kebiasaan di Cotabato untuk makan berdiri. Makanan kali ini agak istimewa berbanding makanan yang mereka terima setiap hari.

Lokasi kedua di Cotabato ialah pejabat International Monitoring Team (IMT) sebuah badan yang ditubuhkan untuk memantau proses pembentukan kerajaan autonomi di Mindanao. Team ini diketuai oleh tentera Malaysia dan disertai oleh negara Brunei, Indonesia, Norway dan Jepun. Antara pegawai yang terlibat ialah Kapten Azhar (TLDM) yang telah memberikan sedikit penerangan kepada kami tentang peranan IMT. Rombongan kami diundang untuk makan malam bersama mereka dan sempat bergambar bersama pegawai-pegawai IMT.

HARI KETIGA (5 OKTOBER 2014)
Sepanjang perjalanan ke lokasi qurban pertama, kami sempat melawat Masjid Hassanah Bolkiah, masjid paling besar di Filipina. Masjid ini dibina sempena Sultan Brunei yang menanggung kos pembinaan masjid ini. Disebabkan lokasinya yang terletak di sebelah Sungai Tamontaka dan berhampiran laut, masjid ini hanya dimanfaatkan untuk solat Jumaat dan solat sunat Eid-ulfitri serta Eid-uladha kerana masjid ini agak jauh dari petempatan.

Lokasi qurban pertama rombongan kami ialah Kampung Darapanan. Kebanyakan daripada penduduk kampung termasuk pemimpin kampung ini boleh berbahasa Arab hasil didikan madrasah yang ada tapi serba dhaif. Pelaksanaan qurban di Cotabato adalah dengan kerjasama ACT Philippines. Rumah yang terdapat di kampung ini banyak diperbuat daripada buluh.

Seterusnya rombongan kami bergerak ke lokasi qurban kedua iaitu Bario, daerah Sultan Mastura merupakan sebuah perkampungan Islam berhampiran pantai. 4 orang peserta rombongan melakukan qurban di sini.



Atas sumbangan rakyat Malaysia sebelum ini, masjid Bario mempunyai panel solar untuk membekalkan tenaga elektrik termasuk pembesar suara. Kini penduduk kampung boleh melaungkan azan serta tidak perlu risau untuk solat berjemaah, solat subuh dan solat pada waktu malam.

Selepas sesi qurban, rombongan kami bersiar-siar di pantai yang berdekatan. Uniknya pasirnya berwarna hitam, mungkin kesan gunung berapi yang terdapat di Filipina. Rombongan kami sempat mengutip kepah yang sangat mudah didapati di sini. Selepas itu, kami makan tengah hari di tepi pantai disudahi dengan minuman fresh Buko juice (air kelapa muda). Di pantai ini terdapat beberapa pondok yang mempunyai meja dan kerusi untuk memudahkan penduduk kampung bersantai dan berkelah bersama keluarga.

Selepas beredar dari Bario, rombongan kami terserempak dengan sebuah perkampungan di tepi Sungai Rio Grande. Rumah-rumah ini sangat-sangat dhaif. Kami bercadang untuk melakukan qurban di sini tahun depan.

Kami sempat berhenti melihat gelagat kanak-kanak melompat dari jambatan konkrit setinggi bangunan 3 tingkat tanpa rasa gerun dan malu (bercawat saja).

Rombongan kami melawat bangunan ini, Ibupejabat Kerajaan Autonomi Mindanao yang terletak di Cotabato City selepas beredar dari Bario.

Selepas itu rombongan kami mengunjungi Central City Arcade, sebuah pasar basah. Sempat membeli nanas Del Monte yang terkenal dengan rasanya yang manis.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, sempat membeli durian. Kebanyakan durian di Filipina berasal dari Davao. Durian ini mirip-mirip durian Siam yang ada rasa sedikit masam tapi ada manisnya kerana durian ini dipetik dan diperam sehingga masak.

HARI KEEMPAT (6 OKTOBER 2014)
Rombongan kami bertolak awal ke Lapangan Terbang Cotabato untuk pulang ke Manila. Disebabkan kekurangan bas, jeepney adalah pengangkutan awam utama di Filipina selain pedicab.

Lapangan Terbang Cotabato sangat kecil dan ringkas. Penerbangan rombongan kami pulang ke Manila menaiki Cebu Pacific.

Sesampai di Manila, rombongan kami makan di Rizal Park (lokasi solat Eid-uladha tempoh hari). Kerajaan Filipina menetapkan Eid-ulfitri dan Eid-uladha sebagai cuti umum nasional. Ada banyak gerai makanan dan penjual ‘Buko Juice’ yang sangat popular di Filipina. Kami tak terlepas melihat ramai kanak-kanak gelandangan yang merempat di sini. Sempat juga menghulurkan sikit makanan yang berlebihan kepada kanak-kanak gelandangan yang kami jumpa.


Disebabkan penerbangan pulang ke Malaysia pada lewat petang, rombongan kami sempat melawat Oceanarium seperti Auqaria KLCC. Antara yang uniknya di sini ialah Akuarium Jellyfish yang menempatkan pelbagai spesies obor-obor dalam akuarium menegak.

Lokasi terakhir kami di Manila ialah Markaz AsShabab, rakan NGO kami yang melaksanakan qurban bagi pihak QKU di Manila dan Marawi. Rombongan kami berjumpa dengan wakil markaz, Brother Omar untuk menyampaikan dana membeli daging qurban seperti qurban ‘last minute’ dan sumbangan penambahbaikan madrasah di kampung Brother Omar (kira-kira 3 jam perjalanan dari Manila)

Akhirnya rombongan kami selamat tiba di KLIA2. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang budiman ‘Qurban Khas Mindanao dan Vietnam’ serta tidak lupa juga kepada peserta-peserta qurban aqiqah ‘Qurban Kasih Ummah 1435H’

Semoga ziarah qurban akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang.Amin…