Perutusan Penasihat Program Qurban Kasih Ummah 1432H

Qurban Kasih Ummah 1432H

Bulan Zulhijjah bakal tiba. Peluang untuk berqurban datang lagi. Amalan yang bukan sahaja disukai, malah dicintai oleh Allah SWT, sepertimana yang disabdakan dalam Hadith Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim.

“Tidak ada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT daripada Bani Adam a.s. ketika Hari Raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan qurban”.

InsyaAllah, sekali lagi kita berpeluang untuk beramal di samping membantu umat Islam di negara-negara yang memerlukan bagi tahun yang ke 13. Buat julung kalinya, IKRAM, JIM dan KIMB bergabung tenaga menganjurkan Program Qurban Kasih Ummah 1432H. Sasaran kita pada kali ini ialah 400 ekor lembu dan 100 ekor kambing untuk diagihkan ke 17 buah negara umat Islam.

Kami menyeru kepada tuan/puan untuk bersama-sama menyertai dan menjayakan program ini. Penyertaan tuan/puan amat besar ertinya kepada penerima yang sangat mendambakan santunan daripada kita semua. Tautan ukhuwwah yang bakal terjalin melalui program ini akan melahirkan kesyukuran di hati penerima. Pastinya ini mengamit doa yang berterusan daripada penerima untuk anda yang telah menyumbang.

Pengorbanan hanya dilakukan oleh orang orang yang terpilih oleh Allah SWT. Tiadalah kesanggupan melakukannya melainkan ke atas orang-orang yang benar-benar bertaqwa dan juga bertawakkal kepada Allah sahaja. Semoga dengan ibadah qurban ini maka akan lahirlah keinsafan dalam diri kita untuk turut berkorban dijalan Allah.

“Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”(Surah al-Hajj ayat 37)

Ibadah buat kita, kegembiraan buat mereka.  Selamat menjalankan ibadah qurban. Semoga ibadah qurban kita mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Jom bersama Qurban Kasih Ummah.

Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
Penasihat Qurban Kasih Ummah 1432H

Hari Raya Haji 1446H/2025:
(7 Jun 2025)

Hari
Jam
Minit

Kongsikan artikel ini: