Ibadah Qurban Bina Jiwa Kemanusiaan

Melihat kepada definisi kemanusiaan melalui maksud perkataan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, membawa pengertian sebagai perihal manusia dan sifat – sifat manusia; tetapi tidak dapat kita gambarkan dengan terperinci maksud sebenar erti ‘kemanusiaan’. 

Namun, apabila kita melihat maksud ‘humanity‘ dalam Kamus Meriam Webster Online daripada terjemahan Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris, ianyanya diterjemah sebagai ‘Compassionate, sympathetic, or generous behavior or disposition; The quality or state of being humane‘, memberi kita sedikit sebanyak idea apakah maksud sebenar istilah ‘kemanusiaan’ tersebut.

Compassionate dan symphatetic membawa maksud belas kasihan, manakala generous behaviour membawa maksud murah hati, dermawan dan sebagainya. Ciri-ciri ini dapat menggambarkan seseorang itu mempunyai kualiti insan yang sejati.

Asas kehidupan seorang manusia, hak-hak yang diterapkan dalam sesebuah masyarakat seringkali cenderung kepentingannya kepada mereka yang lebih berkuasa yang dapat dilihat melalui sikap pemerintah terhadap rakyat yang diperintah, atau sikap ibu bapa kepada anak-anak yang bergantung hidup kepada mereka, mahupun sikap seorang suami yang menjadi ketua keluarga terhadap ahli keluarganya. 

Walaubagaimanapun, Islam merupakan agama fitrah yang tunjangnya adalah cara hidup yang memenuhi kehendak kemanusiaan untuk dijadikan panduan dalam menepati ciri – ciri kemanusiaan yang dibincangkan diatas.

Salah satu bukti yang dapat dilihat tentang ihsan seorang bapa kepada anaknya adalah dalam peristiwa Nabi Ibrahim AS dimana baginda diarahkan menyembelih anak kesayangan Nabi Ismail AS yang dirakamkan di dalam surah 

As-Saffat, 37 ayat 102 – 107.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ 

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’. Anaknya (Nabi Ismail) menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar’.” (As-Saffat, 37:102)

Walaupun arahan yang disampaikan Nabi Ibrahim AS kepada Nabi Ismail AS merupakan satu perintah daripada Allah SWT, baginda masih bertanyakan pendapat Nabi Ismail AS tentangnya. Bukankah ini satu bentuk nilai kemanusiaan yang tinggi yang dapat kita ambil iktibar sebagai seorang Islam, bapa dan manusia? Tidak menggunakan kedudukan baginda sebagai seorang ayah yang terus membuat keputusan ke atas seorang anak hanya kerana baginda seorang ayah dan Nabi İsmail AS seorang anak.

Kemudian, setelah mereka berdua insan yang terpilih itu redha dan berserah dengan menjunjung perintah yang mencengkam jiwa itu secara bulat-bulat hanya kerana Tuhan mereka semata-mata, Allah Yang Maha Penyayang telah menunjukkan ihsannya dengan menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor binatang sembelihan yang besar seperti didalam ayat yang ke 107 didalam surah yang sama.

 وَفَدَيْنَٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيم

“Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar” (As-Saffat 37:107)

Dimana lagi kita mahu belajar sifat kemanusiaan jika bukan daripada Sang Pencipta sendiri yang menekankan kepentingan nyawa seorang manusia dan juga daripada hamba – hamba-Nya yang paling dikasihi itu?

Tidak terhenti setakat itu, ibadah qurban yang merupakan sunat muakkad yang dianjurkan Islam memberi peluang kepada golongan fakir miskin merasai nikmat kelazatan daging sekurang – kurangnya sekali setahun. Kepada yang mampu pula, ibadah qurban melatih kita mengorbankan sedikit sahaja kelebihan wang yang ada untuk dinikmati bersama. Semoga ibadah yang dilandasi dengan keimanan dapat menjalinkan hubungan sesama Islam tanpa mengira status dan kedudukan didalam masyarakat.

Kita sesama Islam adalah bersaudara.

Farhana Zahran,
Sukarelawan MyCARE

Hari Raya Haji 1445H/2024:
(17 Jun 2024)

Hari
Jam
Minit

Kongsikan artikel ini: