Sumber : Malaysia Harmoni

KUALA LUMPUR – Sekretariat Qurban Kasih Ummah yang menunggu dengan penuh debaran akhirnya telah menerima penyertaan qurban ke RM1 juta yang datanya dimasukkan pada jam 3 petang tadi.
Perkara tersebut diberitahu oleh Pengarah Qurban Kasih Ummah 1432H, Tuan Yaacob Tuan Sof sebentar tadi.
Menurutnya lagi, mulai malam ini beberapa orang wakil Sekretariat akan mula berangkat ke tiga buah negara untuk bersama-sama umat Islam di sana dan menyaksikan sendiri ibadah korban dilaksanakan.
Junainah Tolani beserta dua orang wartawan Sinar Harian akan bertolak ke Selatan Thai pada malam ini, Wan Mohd Zukri dan Mohd Iqbal Hakim Iqbal akan ke Kemboja esok manakala Abdul Hafidz Hashim akan ke Vietnam, juga esok.
Sementara itu, Tuan Yaacob sendiri bersama dua orang wartawan TV Alhijrah akan bertolak ke Hatyai, Patani dan Bangkok pada tengah hari esok. Selain menyaksikan pelaksanaan ibadah korban, beliau juga dijadualkan melawat sekolah, universiti dan akan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.
“Saya bagi pihak Sekretariat Qurban Kasih Ummah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua peserta dan mereka yang telah membantu dalam apa jua bentuk bagi menjayakan amal ini bagi pihak IKRAM, JIM dan KIMB. Kerjasama yang telah ditunjukkan membuktikan apa jua boleh dilaksanakan dengan semangat ukhuwah serta doa ke hadrat Ilahi. Pelaburan akhirat usah ditangguh,” katanya.