Assalamualaikum.
Tahun ini merupakan tahun yang ke 12 JIM menganjurkan program Rayuan Qurban/Aqiqah di tempat yang lebih memerlukan. Pada tahun ini Sekretariat Qurban telah memutuskan untuk menghantar beberapa orang wakil yang akan menyaksikan ibadah qurban di beberapa buah negara di mana JIM menghantar penyertaan rakyat Malaysia untuk ibadah qurban dan aqiqah.
Antara lain ianya bertujuan menyaksikan sendiri ibadah qurban dilaksanakan, mengeratkan lagi hubungan dengan NGO pelaksana dan juga berbincang peluang kerjasama dalam membantu umat Islam di negara berkenaan. Antara negara di mana wakilnya dihantar ialah Kemboja, Myanmar, Selatan Thailand dan Vietnam.
Wakil untuk ke Vietnam ialah saya sendiri selaku Pengarah Program Rayuan Qurban/Aqiqah JIM 1431H. Untuk lawatan kali ini saya datang bersama dengan isteri saya Dr Salwani Mohd Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendididkan JIM dan Ahli Jawatankuasa PERINTIS (Persatuan Saintis Muslim Malaysia).
Catatan ringkas kami adalah sebagaimana yang tertulis di bawah.
15 Nov 2010 – Hospitaliti orang Islam Vietnam
Setibanya kami di lapangan terbang Tan Son Nhat International Airport, Ho Chi Minh City (HCMC), Ustaz Abdul Rahman Ibrahim dari Islamic Community of Ho Chi Minh City telah sedia menunggu. Kami terus dibawa ke hotel penginapan di Ngan Ha Hotel berhadapan dengan Ben Thanh Market. Dalam perjalanan tersebut sedikit sebanyak maklumat mengenai umat Islam di HCMC secara khususnya dan masyarakat Islam di Vietnam amnya dikongsikan.
Berbincang program qurban di bilik hotel
Perbincangan mengenai urusan qurban bermula sejurus saja kami tiba di hotel. Kali ini JIM telah mengagihkan sebanyak 20 ekor lembu untuk umat Islam Vietnam. Rakan NGO pelaksana di Vietnam ialah Islamic Community of HCMC yang diwakili oleh Ustaz sendiri. 11 ekor telah diagih untuk masyarakat Islam HCMC dan 9 ekor lagi di Tay Ninh Province. Urusan penghantaran wang telah pun diurus lebih awal oleh Sekretariat Qurban JIM.
Makan tengahari di kedai Shamsudin
Solat maghrib dan isya di Masjid Anwar District 8
Sebelah petangnya kami dibawa oleh Ustaz Abdul Rahman ke rumahnya di District 8. Di kawasan ini terdapat lebih kurang 300 orang keluarga Islam. Rumahya ini sangat hampir dengan Masjid Anwar. Di lantai bawahnya ialah tempat pengajian yang dinamakan Madrasah An Nur sementara tingkat 1 ialah ruang solat.
Sedang berbual bual dengan masyarakat Islam setempat yang hadir di masjid. Masih ada beberapa orang yang boleh bercakap bahasa Melayu
Dr Salwani dan Habsah (isteri Ustaz Abd Rahman) di rumahnya
Di persekitaran kediaman masyarakat Islam di HCMC District 8. Kedengaran nasyid dendangan kumpulan Rabbani dan juga lagu evergreen Melayu.
Bersambung siri 2..
Dilaporkan oleh:
Haji Tuan Yaacob Tuan Sof
Pengarah Program Qurban Aqiqah JIM 1431H