Alhamdulillah, musafir ke Selatan Thai banyak membuka mata. Berada di sana, seolah-olah seperti suasana di Malaysia sekitar tahun 70an.
Walaupun sering diberitakan tentang pembunuhan yang berlaku, tetapi tidak terasa suasana tegang atau ketakutan di kalangan rakyat. Mungkin juga disebabkan suasana Eid yang disambut meriah. Selepas peristiwa berdarah pembunuhan umat Islam di Tak Bai dan beberapa tempat lain, dan juga selepas tampuk angkatan tentera dipegang oleh orang Islam buat seketika (Abg. Nor -mengikut panggilan masyarakat Islam), approach angkatan tentera dan kerajaan persekutuan terhadap umat Islam di Selatan Thailand. Kini mereka turun padang bersama masyarakat, menghulurkan bantuan wang ringgit untuk aktiviti masyarakat dll. Bagaimanapun, masyarakat Islam masih lagi tidak mempercayai tentera. Antara komen mereka “Mereka bagi kita 10,000 bhat, tapi claim telah buat sumbangan 80,000 bhat. Lagi 70,000 bhat masuk poket”.
Selatan Thai ini juga dikatakan secara terancang telah dinafikan peruntukan untuk pembangunan. Bagaimanapun, beberapa tahun lepas, Senator beragama Islam yang dilantik telah berjaya menuntut hak tersebut dan antara pembangunan berjaya dibuat termasuklah jalanraya baru melalui kawasan perkampungan hingga ke Yala Islamic University.
Wilayah selatan thai ini juga sangat subur. Hasilbumi yang diperolehi di kampung, kadangkala tak perlu tanam dan baja, tumbuh sendiri dengan subur. Sawah dan kebun getah merupakan pemandangan biasa di sepanjang jalan. Burung walit pula terdapat dengan banyaknya. Perusahaan burung walit boleh dilihat dimerata tempat. Ternakan seperti kambing dan lembu juga banyak, bangaimanapun lembu dari sebelah utara thailand adalah lebih murah dan besar saiznya. Ada peluang untuk terlibat dalam bidang pertanian disini, untuk sesiapa yang berminat. Pilihlah, nak buat hotel burung ke, nak buat ladang ke dll.
Oleh kerana peluang pekerjaan tidak banyak di sini, ramai yang berhijrah dan bekerja di Malaysia. Boleh dikatakan di setiap kampung, ada saja anak muda yang “kerja ma-lae”. Bila ditanyakan possibility untuk dapatkan pembantu rumah dari sini, tidak mendapat feedback yang positif. Kerana kata mereka, mungkin tidak sesuai untuk kerja mengasuh dan mengurus rumah dan lebih sesuai untuk kerja-kerja yang kasar. Baru berangan nak jadi ejen pembantu rumah, dapat jawapan tu terus kensel.
Tahap pendidikan juga lebih rendah. Bagaimanapun, institusi sekolah pondok/tahfiz samada cara tradisional atau sudah moden, berkembang dengan baiknya. Oleh itu tidak hairanlah, kebanyakan pemegang ijazah umat Islam disini adalah dari jurusan agama. Golongan profesional sangat kurang, tambahan lagi yang Islamik.
Sempat juga menerima tips-tips dari ustaz di sana. Antaranya dengan serba ringkas;
– sentiasalah amalkan do’a masuk pasar/pekan, banyak keberkatannya. Seorang Ustaz pernah ke Kuwait dan ditunjukkan satu kompleks besar oleh rakannya, seorang warga Kuwait. Terpampang di kompleks itu, do’a masuk pasar. Kadangkala dia sengaja pergi ke pasar, membaca do’a itu, kemudian beredar. Ini semata-mata untuk mendapatkan keberkatan dari doa tersebut. Dan dia yakin, kejayaannya juga adalah hasil dari keberkatan doa tersebut. Ustaz tersebut juga pernah menguji keberkatan doa tersebut pada anak-anaknya sebelum membeli-belah. Jika biasanya sejam masa dihabiskan setiap kali ke pasaraya, dengan membaca doa ini, masa yang dihabiskan di pasaraya tak sampai 30 minit pun. Jadi marilah kita pun sama-sama mengamalkannya, mudah-mudahan kita pun beroleh keberkatan darinya.
– rebutlah keberkatan waktu subuh dan awal pagi. Jika diamalkan bangun awal dan solat berjamaah di masjid, diikuti dengan al-ma’thurat, kita boleh nampak dan rasa keberkatan hari itu. Contohnya, dari 8 perkara yang kita rancang haritu, 7 berjaya kita bereskan. Sebaliknya tanpa amalan tersebut, mungkin 2 atau 3 sahaja yang selesai.
Oleh kerana dah banyak dapat ilmu daripada mereka, sempat juga menurunkan tips balasan pula, tentang macam mana nak memastikan kita sentiasa masuk toilet kaki kiri dan keluar kaki kanan, begitu pula sebaliknya untuk masuk rumah/masjid.
Alhamdulillah, Allah beri peluang untuk memantau perlksanaan Qurban di Selatan Thai. Selain daripada membuat kerja pemantauan, beroleh pula pelbagai ilmu sebagai balasan. Memang benarlah, banyak sungguh keberkatan diperolehi dari bermusafir. Wallahu’alam.
Dilaporkan oleh:
En Abdul Hafidz Hashim
Ahli Jawatankuasa Program Qurban Aqiqah JIM 1431H