Assalamualaikum.
Kegembiraan pertama: Melihat Madrasah An-Ni’mah yang diasaskan oleh Mufti Kemboja Okhna Hj Kamaruddin Yusof (Tuan Komry) bersama beberapa orang pimpinan umat Islam Kemboja pada tahun 1997 telah berkembang menjadi 18 buah cawangan di seluruh Kemboja. Madrasah ini mengguna sukatan Pelajaran Yayasan Islam Kelantan. Ramai pelajar-pelajar lepasan Madrasah ini berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuk ke UIA Malaysia dan Al-Azhar di Mesir. 18 buah cawangan madrasah ini terdapat di Phnom Penh (utama), Kg Cham (8 caw), Kandal (2 caw), Kg Thom (1 caw), Kampot (1 caw), Kg Chhnang (1 caw), Banteay Mean Chey (1 caw), Kratie (2 caw) dan Kampot (1 caw). Madrasah An-Ni’mah Al-Islamiyah Al-Thanawiyah diuruskan di bawah Pejabat Mufti Kemboja.
Saya masih ingat lagi pada awal penubuhan Madrasah ini, sedekah yang diterima bersama dengan sumbangan Rayuan Ramadhan yang diuruskan oleh Kelab Remaja JIM waktu itu cukup untuk membeli stok beras pelajar Madrasah An-Ni’mah selama setahun dan membayar bil elektrik asrama mereka juga selama setahun! Perkara ini berlaku selama beberapa tahun. Kursus pendidikan untuk 60 orang guru-guru agama seluruh Kemboja pada tahun 1995 selama sebulan di Phnom Penh anjuran Pusat Pendidikan Al-Amin juga turut membantu penubuhan Madrasah An-Ni’mah.
Foto serahan beras dan duit bayar bil elektrik asrama Madrasah An-Ni’mah kepada Mufti Kemboja pada tahun 2002
Sebahagian daripada lebihan peruntukan pembelian lembu korban dan aqiqah JIM di Kemboja yang diketahui murah disalurkan kepada pendidikan Madrasah An-Ni’mah. Lebihan tahun lepas mampu menaja gaji 3 orang guru Madrasah An-Ni’mah selama setahun dengan kadar USD150 seorang. Sara hidup guru menjadi fokus utama untuk kemajuan Madrasah An-Ni’mah.
Penulis (2 dari kiri) bersama 5 orang ustaz muda lepasan Al-Azhar di Chumnik
Kegembiraan kedua: Melihat 12 orang ustaz muda bekas pelajar Madrasah An-Ni’mah lulusan Al-Azhar Mesir kembali berkhidmat di Madrasah An-Ni’mah. 2 orang daripada mereka menjadi staf di Pejabat Mufti. Ustaz-ustaz ini ialah; Ustaz Ismail bin Ibrahim, Ustaz Mansur bin Sobry, Ustaz Musa bin Yusof, Ustaz Taib bin Tahir, Zubir bin Qasim, Ustaz Asyari bin Yakub, Ustaz Ahmad Nafiak bin Osman, Ustaz Daud bin Salleh, Ustaz Zakaria bin Adam, Ustaz Mohamad Ali bin Yusuf, Ustaz Asnawi bin Isa dan Ustaz Ali bin Abubakar. Kami sempat bertemu dengan 7 orang daripada mereka. Bahkan 2 orang daripada mereka iaitu Ustaz Ismail dan Ustaz Mansur menjadi pengiring dan pemandu kami. Menarik juga, kunjungan saya ke Kemboja kali ini agak berbeza dari biasa kerana disantuni oleh ustaz-ustaz muda.
Antara nasihat yang kami titipkan kepada ustaz-ustaz muda ini ialah:
- Hormati dan iktiraf usaha-usaha yang telah dilakukan oleh generasi lama. Banyak perkara telah mereka lakukan untuk umat Islam selepas rejim Pol Pot sehingga kini. Teruskan perjuangan mereka dengan pembaharuan-pembaharuan yang sesuai dengan kehendak semasa.
- Mantapkan sistem pendidikan Madrasah An-Ni’mah.
- Mengajar di masjid dan surau – hidupkan masjid dan surau dengan kuliah/pengajian agama untuk masyarakat umum.
- Membuat amal secara jamaie, teruskan perjumpaan bulanan pelajar-pelajar Al-Azhar dan mula wujudkan kumpulan-kumpulan usrah.
- Mengambil peluang sepenuhnya membangunkan umat Islam semasa pemerintahan kerajaan sekarang. Pengganti PM sekarang belum tentu lagi Islam berada dalam keadaan “selesa” seperti sekarang.
Kegembiraan ketiga: Mendengar berita bahawa terjemahan al-Quran dalam Bahasa Khmer yang diusahakan oleh Ustaz Zakaryya Adam (Naib Presiden YAPIK) akan dicetak melalui Yayasan Restu dengan bantuan Kerajaan Malaysia. Terjemahan al-Quran kepada Bahasa Khmer berkenaan telah diusahakan oleh Tuan Ya pada tahun 1995. Rujukan utamanya ialah kitab-kitab di dalam Bahasa Arab dan tafsir-tafsir al-Quran di dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Melayu. Tuan Ya mengambil masa 3 tahun untuk menyiapkan terjemahan ini. Kebanyakan suntingan dan cadangan pembaikan datang daripada guru-guru agama di Kemboja, terutamanya Mufti Kemboja.
Menterjemah al-Quran ke dalam Bahasa Khmer bukan kerja yang mudah. Bahasa Khmer berbeza dengan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu contohnya boleh dianggap sebagai ‘bahasa Islam’ kerana konsep-konsep agama dapat difahami dengan mudah. Istilah-istilah Arab yang dipinjam juga menggambarkan perkara ini, contohnya : iman, ehsan, zakah, haji, tauhid dan lain-lain. Mereka yang menggunakan bahasa ‘Islam’ ini juga selalunya dapat membaca al-Quran dan bersolat menggunakan bahasa Arab tanpa masalah.
Berbanding dengan Bahasa Khmer, pengaruh utamanya merupakan falsafah agama Hindu dan Buddha. Bahasa ini juga berkembang mengikut bahasa Sanskrit, maka istilah-istilah agama yang digunakan juga bersandar kepada dua agama di atas. Terjemahan al-Quran di dalam bahasa Khmer dilihat sebagai langkah bijak untuk ‘mengIslamkan’ bahasa ini. Guru-guru agama yang boleh menguasai bahasa Arab juga boleh menjadi pemangkin proses injeksi falsafah Islam ke dalam Bahasa Khmer.
Masih ingat lagi pada tahun 1996, saya mengajar Tuan Ya menggunakan perisian Adobe Pagemaker untuk memudahkan beliau membuat DTP al-Quran terjemahannya. Seorang ahli JIM di Kuala Lumpur juga menghadiahkan sebuah notebook untuk memudahkan Tuan Ya melakukan kerja-kerja terjemahan dan DTP al-Qurannya. Adalah juga peranan ahli JIM dalam usaha terjemahan al-Quran ini.
Penutup
Usaha-usaha pendidikan melalui Madrasah An-Ni’mah dan terjemahan al-Quran ke dalam Bahasa Khmer yang dibuat oleh Mufti Tuan Komry dan Tuan Ya adalah satu usaha yang besar dan perlu sokongan semua umat Islam di Kemboja. Namun dalam setiap perjuangan ada cabaran. Agak sedih juga bilamana ada segelintir pelajar-pelalar muda lepasan luar negeri terutamanya dari Timur Tengah kembali ke Kemboja tidak memperkuatkan institusi Islam yang sedia ada. Bahkan ada yang membuat beberapa andaian dan tohmahan tidak tepat mengenai kedua-dua pimpinan Umat Islam Kemboja ini. Lebih malang lagi jika maklumat-maklumat yang mereka kutip daripada sumber-sumber yang tidak tepat tersebut disebarkan sehingga ke luar negara termasuk Malaysia.
Wassalam.
Lihat diari harian penulis di Kemboja di http://abusyamil.readnetwork.com/
Lihat foto-foto lain di http://www.flickr.com/photos/abusyamil/
Dilaporkan oleh:
En Wan Mohd Zukri Che Mat Zin
Konsultan Program Qurban Aqiqah JIM 1431H