Assalamualaikum.
Memegang banner berkupiah dari kiri: Kapten Azland, Penulis, Hj Zulkarnain & Ustaz Mansur di Prek Kdam
Cambodia Kini
Tahun ini adalah kali ke-13 saya berpeluang ke Cambodia. Pertama kali menjejak kaki di bumi Cambodia ialah pada tahun 1996, kira-kira 14 tahun yang lepas. Selepas pilihanraya pada tahun 2003 yang menyaksikan Cambodian People’s Party (CPP) memenangi 73 kerusi daripada 123 kerusi (50 kerusi lagi dikongsi oleh 6 parti lain), negara Cambodia mencapai kestabilan politik yang baik dan sangat membantu peningkatan ekonomi negara mereka. Kepesatan pembangunan terutamanya di Phnom Penh dapat dilihat dengan jelas antara tahun 2003 hingga kini. Banyak bangunan-bangunan tinggi dibina dan rakyat tidak lagi berada dalam ketakutan. Namun begitu keadaan beberapa kampung yang jauh dari bandar yang saya kunjungi kali kedua selepas kunjungan pertama sebelum 2003 tidak banyak berubah, cuma beberapa infrastruktur utama seperti elektrik dan jalan raya dinaik taraf sedikit. Bahkan ada yang masih ditakuk lama. Tidak sepadan dengan kepesatan pembangunan bandar Phnom Penh dan sekitarnya.
Seperkara yang menarik, kerajaan Cambodia pimpinan Hun Sen sebagai Perdana Menteri memberi kebebasan dan kemudahan yang cukup selesa kepada orang Islam untuk melakukan amal ibadat, antaranya laungan azan boleh didengar dengan kuat dan jelas walaupun di kampung orang Islam yang di kelilingi oleh kampung orang Khmer yang menganut agama Budha. Bahkan dalam keadaan umat Islam minoriti, iaitu hanya 4% daripada jumlah penduduk 14 juta orang, lebih 20 orang Islam memegang jawatan penting dalam kerajaan, iaitu 2 orang senator, 4 orang ahli Parlimen, 5 orang Secretary of State (taraf Timbalan Menteri) dan 10 orang Under Secretary of State.
Pelaksanaan Qurban dan Aqiqah JIM 1431H di Kemboja
Perlaksanaan Qurban dan Aqiqah JIM di Kemboja tahun ini masuk tahun ke-5. Dilaksanakan dengan kerjasama Cambodian Muslim Development Foundation atau Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja (YAPIK). Tahun ini sebanyak 70 ekor lembu korban, 6 ekor lembu aqiqah serta 11 ekor kambing korban dan 10 ekor kambing aqiqah telah diagihkan ke 59 buah KAMPUNG dalam 46 MUKIM di 29 DAERAH dalam 10 WILAYAH. Wilayah-wilayah tersebut ialah: Phnom Penh, Kandal, Kg Cham, Kg Chhnang, Kratie (Kerachih), Stung Treng, Koh Kong, Battambang, Sihanouk Ville (Kg Som) dan Kampot (lihat peta di atas dan data dalam attachment). Tahun ini turut serta bersama saya ialah Hj Zulkarnain Mohd Ghazali (TYDP JIM Batu) dan Kapten Azland Hanafi (Bendahari JIM Hulu Langat). Mereka berdua pergi atas perbelanjaan sendiri.
Alhamdulillah pelaksanaan mematuhi ketetapan yang dinyatakan dalam sijil perlaksanaan yang dikeluarkan oleh YAPIK. Pelaksanaan dilakukan melalui imam-imam Daerah dan Wilayah di masjid dan surau.
Setelah hampir 15 tahun terlibat dengan umat Islam Kemboja dan mengenali secara dekat pimpinan umat Islam di sana terutamanya Mufti Kemboja Okhna Hj Kamaruddin Yusuf dan Ustaz Hj Zakaryya Adam (kini Ahli Parlimen) yang saya kagumi komitmen mereka berdua yang tinggi kepada pembangunan umat Islam Kemboja selepas bebas daripada cengkaman rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot (1975 – 1979), kunjungi saya kali ini selain melaksanakan amanah sebagai urusetia Qurban dan Aqiqah JIM, saya ingin berkongsi beberapa kegembiraan mengenai perkembangan Islam di Kemboja.
Bersambung siri ke-2…
Lihat diari harian penulis di Kemboja di http://abusyamil.readnetwork.com/
Lihat foto-foto lain di http://www.flickr.com/photos/abusyamil/
Dilaporkan oleh:
En Wan Mohd Zukri Che Mat Zin
Konsultan Program Qurban Aqiqah JIM 1431H