KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurahnya. Setiap kali menjelang 10 Zulhijah, pelaksanakan ibadah korban bagaikan pesta keramaian, meriah dalam syahdu gema takbir. Kalau satu masa dahulu, mengorbankan seekor atau dua ekor lembu adalah lumrah bagi sebuah masjid, hari ini berita sebuah surau ‘menumbangkan’ tujuh ekor lembu pun perkara biasa yang didengar.
Namun kita kadang-kadang terlupa bahawa kemewahan yang melimpah di negara ini tidak pernah dirasai oleh umat Islam di sesetengah tempat lain. Atas alasan itu, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sudah saban tahun menganjurkan pelaksanaan ibadah korban ini di tempat-tempat yang dirasakan lebih memerlukan.
Menurut Pengarah Program Rayuan Qurban dan Aqiqah 1413H, Tuan Yaacob Tuan Sof, Jawatankuasa yang dinamakan Sekretariat Rayuan Qurban & Aqiqah JIM ini telah mengendalikan ibadah korban dan akikah setiap tahun dan kali ini ia telah menjangkau tahun ke-12.
Bermula pada 1420 Hijrah dengan agihan 585 bahagian korban ke lima destinasi – Ambon, Aceh, Kosova, Bosnia dan Palestin – pada tahun lepas (1430H), jumlah lembu dan kambing yang dikorbankan telah meningkat kepada hampir 350 ekor.
“Pada tahun ini, sasaran kita ialah 500 ekor. Insya-Allah JIM akan menganjurkannya di 14 buah negara iaitu Palestin, Pakistan, Mindanao, Selatan Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Bangladesh, Iraq dan beberapa institusi yang dikenalpasti di Malaysia.
“Dengan bertemakan ‘ibadah qurban di tempat yang lebih memerlukan’, JIM ingin mengajak seluruh umat Islam di Malaysia untuk bersama-sama kami dalam program ini,” kata Tuan Yaacob.
Tumpuan agihan korban adalah kepada umat Islam yang tertindas, ditimpa bencana, fakir miskin dan yang berjuang di jalan Allah. Keunikan program ini adalah ia dilaksanakan untuk membantu umat Islam dan bukannya berasaskan keuntungan.
Tambah Tuan Yaacob, borang-borang untuk menyertai ibadah korban dan akikah telah mula diedarkan kepada orang ramai melalui JIM Negeri dan Daerah di seluruh negara.
“Buat pertama kalinya juga, mulai tahun ini kita akan menggunakan sistem pengurusan yang telah dibangunkan khas bertujuan untuk memberi maklumat yang cepat kepada peserta. Peserta korban dan akikah akan menerima makluman sistem pesanan ringkas (SMS) setelah penyertaan mereka dimasukkan dalam sistem ini, dan surat penerimaan serta resit akan terus diemelkan sekali gus.
“Melalui testimoni yang diterima daripada wakil pelaksana program ini, penerima daging korban dan akikah di luar negara amat menghargai sumbangan daripada rakyat Malaysia, malah mereka berharap agar usaha ini diteruskan pada setap tahun,” kata beliau lagi.
Orang ramai yang ingin menyertai Program Rayuan Qurban Aqiqah 1413H JIM ini bolehlah menggunakan perkhidmatan transaksi bank (bank-in) kepada akaun ‘PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA’ di Bank Islam Malaysia Berhad (nombor akaun 12113010005797) atau Bank Muamalat Malaysia Berhad (nombor akaun 14030000391713).
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada sekretariat program di talian 03-41089669 atau 03- 41053159, SMS 019-3696650 atau emel kepada ramadhan-qurban@jim.org.my. Maklumat juga boleh diperoleh di laman web www.qurban-aqiqah.jim.org.my. Tarikh tutu penyertaan adalah pada 10 November 2010.