Assalamualaikum wbt,
Segala puji bagi Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang yang dengan izin Nya, MyQurbani 2025 telah berjaya dilaksanakan bagi tahun yang ke 27.
Kempen telah dimulakan pada 18 April 2025 dan ditutup pada 3 Jun 2025. Pada tahun ini, MyQurbani telah berjaya dilaksanakan di 12 buah negara termasuk Malaysia. Jumlah agihan MyQurbani pada tahun ini meningkat dari RM1.82 juta (2024) kepada RM2.12 juta. Berikut adalah senarai negara dan pencapaian pelaksanaan mengikut pakej:

Kesemua qurban dan akikah telah dilaksanakan bermula 10 Zulhijjah hingga tamat hari tasyrik. Kiraan tarikh adalah mengikut kiraan bulan di negara tersebut. Sebanyak 195 ekor kerbau, 597 ekor lembu dan 981 ekor kambing telah disembelih dan diagihkan dagingnya bagi tujuan ibadah qurban dan akikah. Manfaat ibadah anda telah disalurkan kepada 23,855 keluarga bersamaan dengan 122,268 orang penerima.
Untuk makluman semua, senarai penama qurban dan akikah telah diserahkan kepada Rakan Pelaksana dan aqad serahan pelaksanaan juga telah dilakukan dengan Rakan Pelaksana. Pada tahun ini, kesemua sijil penyertaan telah berjaya dihantar ke emel peserta 3 hari selepas hari tasyrik Selain itu, MyCARE telah berjaya menghantar gambar serta video pelaksanaan ke WhatsApp atau emel peserta.
Bagi pakej Daging Sejuk Beku, sembelihan telah dilaksanakan di pusat sembelihan di Australia pada 6 Jun 2025. Di waktu ini, daging-daging tersebut dalam perjalanan melalui kapal ke Lubnan. Insya Allah, jangkaan akan tiba di Lubnan pada akhir bulan Ogos ini dan akan diagihkan ke kem-kem pelarian Palestin di Lubnan.
Sekali lagi pada tahun ini MyCARE meneruskan menggunapakai kaedah daging tin untuk dibawa masuk ke dalam Gaza. Kaedah ini lebih praktikal kerana daging tersebut boleh bertahan selama 24 bulan pada suhu di bawah 50ᵒc. Binatang qurban telah disembelih semasa hari raya haji di India dan di proses menjadi ketulan-ketulan daqing besar. Seterusnya di hantar melalui kapal ke United Arab Emirates (UAE) untuk ditinkan. Kesemua daging telah sampai di UAE pada awal Julai dan sedang di proses menjadi ‘chunk beef’ dan seterusnya akan melalui proses label dan pengetinan. Insya Allah akan masuk ke Gaza pada awal Disember 2025. Di bawah adalah garis masa untuk Pakej Daging Tin Gaza.
Aktiviti | Garis Masa |
Penyembelihan di India | 06 Jun – 09 Jun 2025 |
Pengetinan di UAE | Julai – Ogos 2025 |
Penghantaran ke Mesir/Jordan | Oktober – Nov 2025 |
Agihan di Gaza | Disember 2025 |
Laporan Akhir dan Audit | Disember 2025 |
Alhamdulillah pada tahun ini sumbangan untuk Sedekah Daging Gaza (SDG) meningkat lebih dari 3 kali ganda. Kutipan SDG pada tahun 2024 adalah sebanyak 152 bahagian dan pada tahun 2025 kutipan telah meningkat kepada 483 bahagian (bersamaan dengan 10,143 tin daging). Untuk makluman, sumbangan SDG telah disalurkan untuk projek Daging Tin Gaza. Garis masa agihan adalah sama seperti Pakej Daging Tin Gaza di atas.
Bagi anda yang masih belum masuk ke group Telegram MyQurbani, boleh berbuat demikian bagi melihat gambar-gambar pelaksanaan qurban 2025 https://t.me/myqurbani . Sebarang maklum balas atau cadangan penambahbaikan boleh disalurkan ke nombor hotline kami +6011 1234 8212.
Ucapan jazakumullah khairan katheera kepada semua peserta MyQurbani 2025. Tahniah kerana anda telah membawa keceriaan kepada 23,855 keluarga. Semoga ibadah qurban dan akikah anda diterima Allah swt dan ganjaran di akhirat menanti anda hendaknya. Mohon maaf dari pihak kami atas sebarang kekurangan sepanjang kami melaksanakan program ini. Harap anda semua terus menyokong projek-projek kemanusiaan MyCARE. Jumpa lagi insya Allah di MyQurbani 2026.
Terima kasih.
Kamarul Halim bin Sakrani
Pengarah MyQurbani 2025













