[02] Daging Qurban dan Bukan Islam

Daging Korban dan Bukan Islam

Yang diketahui umum dan menjadi amalan orang Islam di Malaysia daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Namun demikian merujuk kepada pendapat-pendapat yang dikemukakan ulama mazhab dalam isu ini, kita dapat mengesan berbagai-bagai pendapat dengan hujjah masing-masing. Melalui pendapat-pendapat ini umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Dalam kitab Kasyf al-Qina` 3;19 penulisnya menyatakan bahawa golongan Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara. Mazhah Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi 4:285 dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu`  disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Dalam al-Majmu` Syarh al-Muhazzab 8:404 disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulamak telah sepakat (ijma`) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Di sebutkan juga bahawa Iamam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jiuka ia dimasak ia harus diberi makan kepada mereka beserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381 dan al-Syarbini dalam al-Iqna` 2: 581 menyebutkan mazhab Maliki berpendapat  makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani. Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi  daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikat daripadanya.

Dari semua pendapat yang dinukilkan ini beberapa kesimpulan boleh dibiuat:
1.    Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada orang bukan Islam.
2.    Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
3.    Mazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
4.    Semua ulamak mazhab sepakat (ijma`) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada orang bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada orang bukan Islam. Manakala majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai dalam usaha meyakinkan masyarakat bukan Islam dapat melihat bahawa Islam itu memang satu sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara kemesraan hidup silang agama. Di samping itu menerima pakai pendapat majoriti ini juga dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak merasa bersalah kerana melanggar hukum syarak dengan memberi  atau menjemput makan daging korban atau akikah sunat. Tindakan ini diangap sebagai maslahah. Berpindah dari pendapat ulama Mazhab Syafi`ie kepada pendapat majoriti ulama atas alasan maslahat atau kekuatan hujjah bukanlah suatu keaiban, negatif atau terlarang.

Disediakan oleh:
Ustaz Alias Othman
Penasihat Syariah
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Hari Raya Haji 1445H/2024:
(17 Jun 2024)

Hari
Jam
Minit

Kongsikan artikel ini: