sambungan
Untuk subuh hari terakhir, kami bersolat di Masjid Abdul Rahman dalam kompleks pendidikan yang diusahakan oleh Dr.Ismail Lutfi, seorang tokoh agama dan akademik di sini (Gambar 1 & 2). Sementara menunggu iqamah, ditegur oleh seorang pakcik tua yang dah bongkok, umur lebih 80 tahun. Agaknya sebab tak biasa nampak. Waktu solat, kami berdiri bersebelahan. Walaupun bertongkat, masih gagah dan mampu solat berdiri, cuma di rakaat kedua dia duduk sebentar sebab surah yang dibacakan panjang.
Solat di imamkan oleh Dr. Ismail sendiri dan disusuli tazkirah ringkas dari beliau. Selepas Tazkirah, boleh dikatakan semua makmum masih lagi berada di masjid, meneruskan dengan bacaan doa ma’thurat, zikir dan membaca al-qur’an. Selepas solat Dhuha, baru masing-masing beredar. Ketika pakcik tua itu beredar, barulah ustaz Mat menggamit dan memperkenalkannya, ayah Dr.Ismail rupanya.
Kemudian Dr.Ismail pula yang mengajak kami ke pejabatnya (Gambar 3). Walaupun beliau sibuk, lebih sejam kami dilayannya (Gambar 4). Rupa-rupanya beliau telah pun meminta ahli keluarganya menyiapkan sarapan untuk kami. Selepas pukul 9.00 pagi baru kami bergerak dari rumah beliau. Sebelum beredar, beliau telah menghadiahkan beberapa penulisan beliau termasuk buku “Haji Mabrur”.
Sebenarnya, malam sebelumnya kami dah berjanji dengan Abdullah Soontorn untuk berjumpa di Bank pada pukul 9.00, untuk menyelesaikan urusan kewangan Qurban JIM yang belum selesai. Terpaksa ubahsuai rancangan sedikit disebabkan kelewatan tersebut, tak sempat untuk check out dulu, sebaliknya terus ke bandar. Kelewatan yang tak merugikan sebab banyak yang boleh dimanfaatkan dari perbualan dengan Dr.Ismail Lutfi.
Dalam perjalanan, sempat singgah di Radio Risalah (Gambar 5 & 6). Radio Islam ini boleh didengar di 4 wilayah di selatan Thai. Ust. Alias Al-Hafiz dan Ustaz Ghazali, yang teribat dengan program Qurban JIM, merupakan antara mereka yang menggerakkan siaran ini. Asalnya mereka ingin membuat temubual berkenaan Qurban JIM. Tapi sebab kami dah kesuntukan masa, nak kena berkejar ke airport Hat Yai yang jaraknya lebih 100km, akhirnya sempat bergambar di luar bangunan sahaja. Selesai urusan di bank, barulah ada peluang nak beli ole-ole sedikit. Dengan masih lagi berkain pelekat, ditengah bandar, ole-ole yang sempat dibeli hanyalah makanan yang tak biasa ditemui di Malaysia.
Destinasi lawatan yang terakhir ialah di wilayah Songkhla. Malangnya, disebabkan lokasi tersebut agak jauh ke dalam dari highway, kami terpaksa batalkan, khuatir terlepas penerbangan balik ke Malaysia. Ust. Mat berjanji untuk singgah dalam perjalanan balik nanti, walapun acara qurban dah selesai dilaksanakan.
Disebabkan tak jadi ke lokasi terakhir, kami ada masa untuk singgah makan dipekan Hat Yai. Sempat ambil gambar “Masjidna-Khuanlang” (Gambar 7).
Di luar masjid ada disediakan bangku, antaranya adalah sumbangan dari syarikat Malaysia (Gambar 8).
Selepas itu baru bergerak ke Airpot Hat Yai untuk menaiki AirAsia ke LCCT (Gambar 9).
Alhamdulillah, musafir 4 hari ni sungguh bermanfaat. Banyak ruang untuk kerjasama dengan masyarakat Islam di Selatan Thai. Banyak juga tips dan tazkirah yang diperolehi terutamanya dari Ust. Mat dan Dr.Ismail Lutfi. Setelah bermusafir juga baru terbuka mata melihat kebesaran dan keberkatan ibadah qurban itu dengan sebenarnya. Barulah juga nampak betapa significant nya hadith yang menyatakan, ” qurban adalah ibadah paling utama” sewaktu Eidul Adha dan Hari Tasyrik.
Wallahua’lam.
Dilaporkan oleh:
En Abdul Hafidz Hashim
Ahli Jawatankuasa Program Qurban Aqiqah JIM 1431H