Qurban
Qurban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (Al-An’am) pada hari raya Aidul Adha atau hari-hari tasyrik (11,12,13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah. Hukum ibadah qurban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar. Ibadah qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.
Ibadah qurban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walaubagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim sangup menyembelihkan anak sendiri dan Nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih. Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah lebih daripada yang lain walupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail dengan kambing (Qibasy).
Ibadah qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Syarat Sah Ibadah Qurban
1. Berniat qurban ketika menyembelih.
2. Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar sepagalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
3. Penyembelih orang Islam.
4. Tidak terdapat kecacatan pada binatang korban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.
5. Binatang ternakan yang halal dimakan.
6. Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan qurban adalah seperti berikut;
Binatang Umur
a. Biri-biri 1 tahun atau lebih
b. Lembu / kerbau 2 tahun atau lebih
c. Unta 5 tahun atau lebih
Pembahagian daging qurban:
a. 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin
b. 1/3 dimasak untuk jamuan ramai
c. 1/3 orang yang berqurban
Lebih afdal sekiranya orang yang berqurban itu memakan sedikit daripada daging qurbannya. Haram diberikan daging qurban kepada orang kafir samada dalam keadaan mentah ataupun masak. Harus disedekahkan kepada orang kaya. Qurban nazar haram dimakan dagingnya oleh orang yang bernazar.
Perkara Sunat Ibadah Qurban
1. Membaca basmallah atau takbir
2. Selawat kepada Nabi
3. Menyembelih pada waktu siang
4. Memilih binatang yang gemuk dan sihat
5. Binatang hendaklah dibaringkan di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat
6. Orang yang berqurban makan sebahagian daging qurban
7. Menggunakan alat sembelihan yang tajam
Hikmah Qurban
Hadith Akikah
Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberikan nama.
Hadith Riwayat Abu Daud
Akikah adalah sembelihan binatang an’am (binatang ternakan seperti kambing, biri-biri dan kibas) yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru lahir sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Hukumnya adalah sunat muakkad.
Syarat-syarat Akikah
1. Syarat-syarat untuk binatang sembelihan aqiqah adalah sama seperti binatang sembelihan korban iaitu mestilah berumur lebih dua tahun, tidak sakit, tidak cacat, tidak kurus, tidak buta dan tidak bunting.
2. Akikah anak lelaki ialah 2 ekor kambing atau 2 bahagian lembu dan anak perempuan seekor kambing atau satu bahagian lembu.
3. Sekiranya kurang berkemampuan, untuk akikah anak lelaki memadai dengan seekor kambing atau satu bahagian lembu dahulu, baki seekor (sebahagian) lagi boleh dibuat kemudian bila ada kemampuan.
4. Disunat menyedekahkan daging akikah yang sudah dimasak.
5. Seelok-eloknya, tulang binatang akikah tidak dipatahkan sebaliknya dipotong pada sendinya.
Hikmah Akikah
1. Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT di atas pengurniaan cahayamata.
2. Memulakan kehidupan anak dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan perkara-perkara kebaikan.
3. Memaklumkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT.
4. Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan cahayamata.
5. Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah SAW.
Qurban Menurut Islam
SEJARAH ASAL USUL QURBAN
1. Korban Zaman Nabi Adam A.S (Rujuk Surah Al-Maidah : 27- 31)
2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S
3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S
4. Qurban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S
5. Qurban Zaman Nabi Musa A.S
6. Qurban Bangsa Yunani dan Rom
7. Qurban Abdul Mutalib nenda Rasulullah S.A.W
Hukum Ibadah Qurban
Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.
Alasan yang mengatakan amalan qurban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) qurbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)
Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan qurban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan qurban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;
Maksudnya;
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;
Maksudnya;
“ Diwajibkan ke atasku supaya berqurban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)
Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan qurban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.
Terdapat satu Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah qurban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berqurban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).
Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;
“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)
Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.
Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berqurban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.
Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah qurban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah qurban seumur hidupnya. Jika dia tidak berqurban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi terlah berqurban bagi pihak umatnya.
Berpandukan kepada amalan qurban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.
Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih qurban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.