Sumber: Sinar Harian Online
Bantuan mangsa banjir tanpa sempadan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 7, 2011
Tarikh : November 7, 2011

BANGKOK, THAILAND – Institusi di bawah Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Nusantara Islah Centre of Excelence ( NICE) membuktikan semangat dan keikhlasan tanpa sempadan sukarelawan Malaysia, dalam usaha membantu umat Islam di Bangkok yang sedang ditimpa bencana banjir.
Misi pertama membantu mangsa banjir di Thailand telah dilaksanakan pertubuhan berkenaan di perkampungan Tha’it yang terjejas teruk akibat banjir berikutan terletak di pinggir Sungai Chao Praya.
Selain sukarelawan Ikram, kerja pengagihan bantuan makanan kering itu dilaksanakan bersama kira-kira 30 sukarelawan dari NGO terlibat, terdiri daripada World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Thailand, The Welfare of Pattani, The Foundation for Quranic Education, Islamic Relief Malaysia di samping bantuan daripada sukarelawan dari beberapa penuntut Universiti Islam Yala termasuk penduduk setempat.
Pengarah WAMY, Abdul Rashid Ahmad Wali berkata, pada hari pertama bantuan itu, sebanyak 800 bungkus berisi makanan tiga kilogram (kg) beras, 10 bungkus mee kering, dua tong ikan sardin, kicap, minyak masak dan air minuman (setiap bungkusan) dibawa ke pelabuhan Pekkret untuk proses agihan.
“Kami bawa makanan ini ke pelabuhan dengan menggunakan trak tentera yang disediakan kerajaan Thai secara percuma. Kemudian dari pelabuhan, kami bawa bungkusan makanan ke kampung Tha’it dengan menggunakan bot. Seramai kira-kira 30 sukarelawan membantu pada malam ini,” katanya ketika ditemui di pinggir sungai Chao Praya, kelmarin.
Sinar Harian yang turut serta bersama mereka, mendapati tebing sungai berkenaan diletakkan timbunan guni berisi pasir untuk menyekat air dari terus memasuki premis di tepi sungai, sementara sampah sarap kelihatan bergelimpangan dibawa arus air banjir dan keadaan berbau busuk.
Dalam pada itu, sukarelawan memulakan bantuan di kampung Tha’it petang kelmarin. Kampung didiami hampir dua ribu penduduk dan seratus peratus Islam itu teruk terjejas kerana terletak di pinggir sungai terpanjang di Thailand (372 kilometer) berkenaan yang mengalir dari utara negara itu menuju ke Teluk Thailand di selatan. Air sungai melimpah berikutan hujan lebat di bahagian utara Thailand.
Perjalanan menaiki bot dari pelabuhan, ke kampung berkenaan mengambil masa kira-kira 45 minit. Banyak harta benda penduduk musnah setelah rumah yang rendah ditenggalami air termasuk masjid dan sebuah surau berusia 200 tahun di kampung itu.
Surau tua tersebut dijadikan pusat mengumpul keseluruhan bungkusan bantuan yang akan diagihkan kepada setiap rumah dengan menggunakan bot kecil.
Bungkusan makanan diagih dari rumah ke rumah setiap penduduk yang tidak berpindah ke pusat perpindahan sementara kerana ingin menjaga harta benda dalam rumah masing-masing.
“Ada penduduk yang masih bertahan dan tidak mahu pindah kerana menjaga rumah mereka dari kecurian. Berikutan bencana ini, terdapat pihak mengambil kesempatan mencuri harta benda penduduk. Dalam keadaan ini, maka kita cuba bantu dengan menghantar makanan,” kata Abdul Rashid.
Turut turun padang mengetuai sukarelawan adalah Pengarah Program Qurban Kasih Ummah (di bawah IKRAM), Tuan Yaacob Tuan Sof dan Presiden The Foundation for Quranic Education (Thailand) Muhammad Ismail serta Naib Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS), Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud.
Bantuan ke Thailand ialah inisiatif NICE yang telah mewujudkan sebuah tabung khas dinamakan Tabung Kasih Ummah Bencana Banjir di Thailand pada 28 Oktober lalu untuk mangsa banjir beragama Islam.
Usaha itu bagi membantu bebanan penduduk Islam yang menghadapi masalah untuk berpindah ke pusat penempatan sementara disediakan kerajaan kerana agak sukar mendapat makanan halal.
Banjir yang dikatakan terburuk dalam tempoh 50 tahun itu telah menenggelami lebih sepertiga Thailand sejak banjir melanda negara itu pada Julai lalu.
Misi bantuan kelmarin berakhir jam 12 malam (waktu tempatan). Laporan lebih lanjut akan diterbitkan dalam rencana khas yang akan disiarkan dalam akhbar ini.