Sumber : Sinarharian Online
Sumbangan amat dinantikan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 8, 2011

BANGKOK, THAILAND – Masyarakat di Bangkok mula hidup dalam kebimbangan, dikhuatiri menjadi mangsa banjir terburuk dalam tempoh lima dekad.
Dalam kenikmatan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, misi bantuan kemanusiaan Program Qurban Kasih Ummah diteruskan dengan menyalurkan pelbagai keperluan asas terutama dalam bentuk makanan.
Selain sukarelawan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), misi turut disertai seramai 30 sukarelawan, Himpunan Belia Islam Sedunia (Wamy) Thailand, Pertubuhan Kebajikan Pattani, The Yayasan Pendidikan al-Quran Thailand dan Islamic Relief Malaysia (IRM), selain penuntut Universiti Yala.
Perkampungan Tha’it yang terjejas teruk menjadi lokasi utama penyaluran bantuan kerana kedudukannya hampir dengan Sungai Chao Praya yang mula melimpah.
Perkampungan itu dihuni kira-kira 2,000 penduduk Islam.
Pengarah Wamy, Abdul Rashid Ahmad Wali berkata, kira-kira 800 produk diserahkan seperti beras, mi kering dan makanan ringan yang dibawa ke Pelabuhan Pekkret untuk proses agihan.
“Makanan dibawa menggunakan trak tentera yang disediakan kerajaan Thailand secara percuma, sebelum terus ke Kampung Tha’it dengan menggunakan bot,” katanya.
Perjalanan dengan bot dari kawasan ini mengambil masa kira-kira 45 minit.
Difahamkan, masalah timbul di kawasan perkampungan itu apabila ramai penduduk enggan berpindah kerana khuatir rumah mereka dijadikan sasaran pencuri.
Penghulu Kampung Tha’ it, Qassim Abdullah berkata, dalam tempoh beberapa tahun, ini tragedi banjir paling buruk. Keengganan mereka berpindah mengundang kesukaran menyalurkan misi bantuan terutamanya makanan.
“Kami amat hargai sumbangan dari Malaysia kerana ketika ini, ia amat diperlukan terutama di beberapa kawasan yang dinaiki air secara mendadak tanpa diduga,” katanya.
Turut serta dalam misi itu, Pengarah program, Tuan Yaacob Tuan Sof; Presiden Yayasan Pendidikan al-Quran Thailand, Muhammad Ismail dan Naib Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (Perintis) dan Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud.
Tuan Yaacob berkata, program ini mula beroperasi sejak 28 Oktober lalu, bertujuan membantu mangsa banjir, terutama beragama Islam bagi mendapatkan perlindungan dan bekalan makanan halal.
“Kami difahamkan, kesukaran mendapatkan bantuan makanan halal menjadi punca keenganan beberapa penduduk tidak berpindah ke pusat penempatan banjir disediakan oleh kerajaan Thailand.
Kehadiran kami tepat pada masanya, malah dapat memberi harapan kepada penduduk Islam di sini,” katanya.