Isu Hukum Yang Mungkin Ada Kaitan.
Isu hukum yang mungkin ada kaitan dengan penilaian semula fungsi ibadat korban bagi tujuan di atas ialah isu mengenai pengagihan, pemanfaatan, pemilikan dan penjualan daging korban.
Pengagihan.
Berdasarkan ayat 28 dan 36 surah al-Haj semua mazhab fiqh berpendapat daging korban hendaklah diberi makan kepada fakir miskin setelah dimasak atau diagihkan mentah-mentah. Mazhab Hanafi (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3:631) menggalakkan daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian, sebahagian untuk tuan punya korban, sebahagian lagi dihadiahkan kepada keluarga dan orang kaya dan bahagian yang ketiga disedekahkan kepada fakir miskin. Mazhab Maliki (ibid) hanya menyebut dibahagi tiga dengan tidak menentukan kadar setiap bahagian. Yang mungkin menjadi isu ialah bahagian tuan punya korban dan bahagian untuk keluarga dan orang kaya. Projek ini akan mengakibatkan tuan korban, kerabat dan orang kaya tidak akan mendapat bahagian mereka. Dengan itu kepentingan mereka terabai. Namun demikian usaha mengangkat taraf hidup golongan fakir miskin lebih penting berbanding kepentingan tuan korban, kerabat dan orang kaya. Lebih baik dan lebih mendatangkan faedah daging itu diberikan kesemuanya kepada mereka melalui skim bantuan yang dihasilkan oleh projek ini. Kepentingan tuan korban, keluarga dan orang kaya tidak sedikitpun akan terjejas sekiranya tidak menerima bahagian mereka. Mungkin timbul isu pengagihan daging korban sebagai satu pemangkin kepada silaturahim dalam masyarakat. Namun jika dibandingkan kepentingan mengangkat taraf kehidupan golongan fakir miskin dengan kepentingan memperirat silatulrahim melalui ibadat korban ternyata kepentingan mengangkat taraf hidup golongan miskin lebih utama. Banyak cara lain selain mengagihkan daging korban untuk mengiratkan silatulrahim. Tidak mengambil bahagian dan menyerahkannya kepada fakir miskin merupakan satu bentuk pengorbanan lain.
Pemanafatan dan pemilikan.
Penulisan ulamak mazhab menunjukkan bahawa orang kaya hanya layak memanafaatkan daging korban dengan memakannya. Mereka tidak berhak memiliknya. Oleh itu mereka tidak berhak menjualnya. Golongan fakir miskin pula berhak memilikinya. Oleh itu mereka berhak menjualnya dan menggunakan wang hasil jualan untuk kegunaan lain. Dalam Mughni sl-Muhtaj 4;290 dan al-Muhazzab 1:240 dinyatakan bahawa tuan punya korban boleh memberi makan daging korban kepada orang kaya, tidak memberi milik kepada mereka sekalipun sedikit, ia dihantarkan kepada mereka sebagai hadiah, mereka tidak berhak melakukan sebarang transaksi ke atasnya dengan menjual atau lainnya. Dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 3;634 dijelaskan bahawa orang kaya boleh memanfaatkan daging korban dengan memakannya bukan memilikinya.
Pada hakikatnya pendapat yang mengkhususkan pemilikan daging korban kepada golongan fakir miskan membantu memudahkan projek ini dilaksanakan, kerana mereka memang berhak memilikinya, cuma pengubahsuaian perlu dilakukan dengan meminta kepada mereka supaya daging itu tidak diagihkan dalam bentuk yang biasa dilakukan, tetapi ia dijual dan dilaburkan terlebih dahulu kemudian mereka akan menerimanya dalam bentuk bantuan pendidikan yang boleh menaiktaraf kehidupan mereka. Mungkin sekali lagi timbul isu hak orang kaya dalam memanafaatkan daging korban. Seperti di atas golongan ini diminta memberikan hak mereka kepada golongan fakir miskin, kerana mereka sebenarnya tidak memerlukan daging tersebut.
Disediakan oleh:
Ustaz Alias Othman
Penasihat Syariah
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)