[03] Ibadah Qurban di tempat atau negara lain

Melakukan Ibadat Korban di Tempat Atau Negara Lain

Melakukan ibadat korban di tempat atau di negara lain bermaksud seseorang yang berada di satu qariah, daerah atau negeri tidak melakukan ibadat korban di tempat beliau bermukim, tetapi melakukannya di qariah, daerah atau negeri lain. Termasuk juga tidak melakukan ibadat korban di negara sendiri tetapi melakukannya di negara lain, seperti rakyat Malaysia melakukan ibadat korban di Kemboja. Ia juga boleh bermaksud ibadat korban dilakukan di tempat atau negara sendiri tetapi dagingnya dipindahkan ke tempat lain, sama ada qariah, daerah, negeri atau negara lain.

Para ulama mazhab mengemukakan pendapat, yang berbeza dalam isu ini. Dalam penulisan-penulisan mereka isu ini diberi tajuk ‘memindahkan korban ke tempat lain’. Wahbat al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatu 3:633–634 merumuskan bahawa Mazhab Hanafi berpendapat, sama seperti zakat, korban makruh dipindahkan dari tempat asalnya ke tempat lain, kecuali jika pemindahan itu bertujuan untuk memberikannya kepada kaum kerabat atau mereka yang lebih memerlukan daging korban itu. Kalau dipindahkan juga ia diterima tetapi makruh. Mazhab Maliki pula berpendapat tidak harus memindahkan korban ke jarak yang melebihi jarak (masafah) yang membolehkan qasar solat, kecuali penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal yang berhak menerimanya. Dalam keadaan ini sebahagian besar daging itu hendaklah dipindahkan ke tempat mereka yang memerlukannya dan sebahagian kecilnya diagihkan di tempat asal korban itu. Ulamak Mazhab Hanbali juga sama pendapat dengan Mazhab Maliki; boleh memindahkannya ke tempat yang kurang dari jarak yang membolehkan solat qasar dan haram memindahkannya ke tempat yang melebihi jarak yang membolehkan solat qasar. Ulama Mazhab Syafi`ie mengharamkan daging korban dipindahkan ke tempat lain.

Ada beberapa perkara dapat dirumuskan dari penjelasan di atas:
1.    Semua ulama mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie sepakat mengharuskan korban dipindahkan ke tempat lain sekiranya penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut berbanding penduduk tempat asal korban itu. Cuma Mazhab Maliki berpendapat sebahagian kecil daging itu mestilah diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya di tempat asal korban itu.
2.    Hanya ulama Mazhab Syafi`ie sahaja yang mengharamkan secara mutlak pemindahan korban dari tempat asalnya.

Untuk membuat pertimbangan dalam memilih salah satu daripada dua pendapat di atas, maqasid syariah (tujuan di sebalik hukum syarak) hendaklah diambil kira dan diberi keutamaan. Maqasid syariah di sebalik semua hukumnya adalah menjamin maslahah manusia. Maslahat manusia dapat dijamin dengan dua cara: pertama dengan menolak bencana dan kedua dengan menjana maslahat. Menurut kaedah syarak: menolak bencana didahulukan daripada menjana maslahat.

Dalam konteks pemindahan korban yang mungkin menjadi isu sekarang ialah memindahkan  korban dari satu negara ke negara lain. Di Malaysia telah ada institusi yang memberikan khidmat membantu rakyat Islam Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat korban di negara lain, seperti di Kemboja dan di negara-negara minoriti Islam yang lain. Apakah amalan ini  lulus dari sudut pandangan syarak atau tidak.

Ulamak Mazhab Syafie telah tidak mengharuskannya. Ulamak mazhab lain telah mengharuskannya dengan syarat penduduk di tempat itu lebih memerlukan daging korban tersebut.

Ditinjau dari sudut maslahat dan keperluan manusia yang menjadi maqasid kepada syariat Islam pendapat ulamak selain mazhab Syafi`ie yang membolehkan korban dipindahkan ke tempat lain adalah lebih baik diterimapakai, kerana memindahkan korban ke Kemboja umpamanya, dapat   memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk Islam di sana yang jauh lebih memerlukan daging korban itu berbanding penduduk Islam di Malaysia. Memang tidak dinafikan mungkin di Malaysia juga terdapat orang Islam yang sama miskin dengan penduduk Islam Kemboja, namun secara rawak keadan penduduk Islam di Malaysia jauh lebih baik daripada penduduk Islam di Kamboja secara amnya. Dengan penilaian ini sebenarnya tidak ada sesuatu yang meragukan dari sudut hukum syarak memindahkan korban dari tempat asalnya ke tempat lain dengan berpegang kepada pendapat majoriti ulamak mazhab, kecuali Mazhab Syafi`ie. Sekali lagi dinyatakan bahawa tiada cacat atau celanya menerima pendapat mana-mana mazhab atas dasar maslahat atau kekuatan hujjah.

Menilai Semula Fungsi Ibadat Korban.

Maksudnya menilai semula fungsi ibadat korban dalam konteks kehidupan golongan fakir miskin. Selama ini faedah yang dikecapi golongan ini daripada ibadat korban hanyalah dalam bentuk memakan dagingnya. Faedah ini hanya bertahan untuk sehari dua, paling lama seminggu. Faedah ini tidak membawa sebarang perubahan kepada taraf hidup, sosio ekonomi dan pendidikan mereka. Selepas daging korban habis dimakan kehidupan mereka tetap berada ditahap yang sama. Menilai kembali fungsi ibadat korban dalam konteks ini bermaksud memikirkan semula fungsi ibadat ini. Bolehkah ia dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan pendidikan golongan ini. Kalau boleh bagai mana caranya?. Adakah isu berkaitan hukum fiqh yang mungkin menghalang fungsi seperti ini dilaksanakan?. Kalau ada bolehkah hukum itu dikondisikan semula supaya dapat disesuaikan dengan reality semasa sehingga ibadat ini lebih bermakna dan bererti dalam mengubah keadaan hidup golongan ini.

Satu cara yang mungkin boleh difikirkan secara serius ialah mewujudkan satu tabung biasiswa yang sumbernya dijana daripada penjualan daging korban. Konsepnya ialah; daging korban itu tidak diagihkan kepada fakir miskin dan orang ramai, tetapi dijual, kemudian wangnya dilaburkan ke dalam institusi pelaburan yang menguntungkan, seperti Tabung Haji atau lainnya. Projek seperti ini akan menjana keuntungan yang membolehkan fakir miskin diberikan bantuan pendidikan di berbagai peringkat mengikut kemampuan tabung.

Kalau diandaikan satu karyah yang mempunyai sebuah masjid dan 20 buah surau, setiap surau menyembelih tiga ekor lembu korban dan masjid pula menyembelih 20 ekor lembu, jumlah lembu yang dikorbankan di karyah itu ialah 80 ekor. Kalau daging seekor  lembu korban boleh dijual dengan harga RM1500.00 ini bererti tahun pertama projek ini telah mempunyai modal pelaburan sebanyak RM120,000.00. Dengan keuntungan 4% setahun, selama lima tahun daging korban dijual dan dilaburkan projek ini telah dapat mengumpul lebih dari RM600,000.00. Dengan memberikan bantuan pendidikan bernilai RM30.00 sebulan kepada 10 orang pelajar miskin di sekolah rendah modal pelaburan projek ini tidak akan terjejas walau sedikitpun, malah akan terus meningkat. Pada tahun ke enam dan berikutnya bilangan mereka yang mendapat bantuan boleh ditambah, begitu juga jumlah bantuannya. Jika projek ini dapat diteruskan ia akan dapat menjana jutaan ringgit yang bukan hanya dapat membantu pelajar di peringkat sekolah rendah, malah menengah dan di peringkat pengajian tinggi. Ini hanya gambaran satu karyah, bayangkan jika projek ini merangkumi satu daerah atau satu negeri, malah negara.

Disediakan oleh:
Ustaz Alias Othman
Penasihat Syariah
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Hari Raya Haji 1445H/2024:
(17 Jun 2024)

Hari
Jam
Minit

Kongsikan artikel ini: