[01] Amalan Ibadah Qurban Dalam Masyarakat Silang Agama

BEBERAPA ISU MENGENAI IBADAT KORBAN
Ustaz Alias Othman

Muqaddimah
Berbagai pendapat dikemukakan ulama mengenai hukum ibadat korban. Imam Abu Hanifah berpendapat ia wajib sekali setahun bagi penduduk kota yang bermukim. Kedua-dua murid Abu Hanifah iaitu Abu Yusuf dan Muhammad  berpendapat ia hanya sunat muakkad. (al-Bada`ie wa al-Sana`ie 5:62) Ulama lain daripada Abu Hanifah berpendapat amalan korban hanya sunat muakkad sahaja, bukan wajib. Pengikut Mazhab Maliki menambah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu melakukannya. (Bidayat al-Mujtahid 1:415, Mughni al-Muhtaj 4:282, al-Muhazzab 1:237, al-Mughni 8:617)

Apapun pendapat mengenai hukum ibadat ini ia merupakan satu amalan yang telah lazim dilakukan umat Islam diseluruh dunia. Berbagai hikmat dari amalan korban ini telah dihurai dan diungkapkan oleh penulis-penulis Islam dahulu dan semasa. Namun satu hakikat yang perlu diterima bahawa sejak amalan ini dilaksanakan dalam masyarakat, ia tidak memberikan impak yang jelas dalam merubah kualiti kehidupan golongan fakir miskin yang menjadi golongan sasar pengagihan daging korban. Apa yang mungkin menarik dan ada kepentingannya dibincangkan di sini ialah beberapa isu mengenai; Amalan korban dalam konteks masyarakat silang agama, memindahkan pelaksanaan korban dari satu tempat ke satu tempat lain, malah ke luar negara dan bagaimana amalan korban boleh meningkatkan status sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin.

Tiga isu ini sangat releven dengan keadaan di Malaysia sebagai negara yang di huni oleh warga silang agama, rakyat Malaysia yang pemurah dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlulan dan isu sosio ekonomi dan pendidikan golongan fakir miskin di Malaysia.

Amalan Ibadat Korban Dalam Masyarakat Silang Agama
Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat yang dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian. Sesuatu yang boleh menjejaskan hubungan mesra silang agama atau menimbulkan syak dan perasangka negatif terhadap Islam sebagai satu sistem mestilah dielakkan.

Melihat kepada pengamalan ibadat  korban yang dilakukan di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Di peringkat sebelum berlaku interaksi yang sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti ini memang tidak menimbulkan apa-apa isu, namun setelah hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah-menziarahi silang agama semakin kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan, malah seorang, Islam atau bukan Islam mungkin merasakan amat sumbang dan janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakannya, terutama jiran-jiran dan rakan sekerja, pegangan seperti ini mungkin menimbulkan isu. Keadaan ini akan lebih ketara pada ibadat akikah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah.Yang menjadi pegangan majoriti orang Islam di Malaysia daging akikah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang muslim akan merasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukan Islam di sebelah rumahnya atau tidak memberikan daging korban kepadanya memang tidak kena dan tidak manis, jika dijemput dia merasa bersalah kerana telah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging akikah dan korban diberi makan kepada bukan Islam. Jiran bukan Islamnya juga akan merasa tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis itu diadakan. Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam itu tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain selain dari pendapat yang mengatakan bahawa daging korban dan akikah haram diberi makan kepada bukan Islam?.

Disediakan oleh:
Ustaz Alias Othman
Penasihat Syariah
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Hari Raya Haji 1445H/2024:
(17 Jun 2024)

Hari
Jam
Minit

Kongsikan artikel ini: